Update: Ceramic Business Club dah tak wujud!
Aku ada emailkan ke Bank Negara Malaysia mengenai permasalahan yang semua ahli Ceramic Business Club sedang hadapi ni:
Assalamualaikum wbt.
Saya yang bernama Nahar Efendy Bin Noordin, No KP XXXXXXXXXX merupakan ahli CBC ID : AC991425.
Saya telah menyertai CBC sejak 7 bulan dan saya percaya sehingga hari ini, CBC tidak pernah menipu saya mahupun menipu ahli-ahli yang lain.
Apa-apa pun, saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak BNM kerana bertindak secara profesional berdasarkan aduan mengenai CBC. Cuma bagi kami sebagai ahli CBC berharap pihak BNM dapat menyiasat secara telus dan pantas, kerana kami yakin sebagai ahli kami percaya CBC tidak pernah menipu duit kami sebelum ini. Kesemua cek dan voucher yang diberi adalah valid dan boleh digunakan tanpa sebarang keraguan.
Saya juga mendapat kebebasan kewangan sejak menyertai CBC, dapat bayar hutang, dapat beli barang-barang keperluan dan kehendak dengan gembira. Oleh itu, saya percaya dengan rekod ACM dan CBC memang tidak pernah menipu orang Melayu dalam program kesetiaan pelanggan ini.
Akhir kata, semoga pihak BNM menjalankan siasatan dengan berkesan, telus dan pantas. Sekian, terima kasih.
Yang benar
Nahar Efendy Noordin
Pagi tadi, aku check email. Email aku tu dibalas:
Encik Nahar Efendy Bin Noordin,
Kami merujuk e-mel tuan bertarikh 26 Julai 2009.
Kami ingin memaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan siasatan terhadap Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd dan syarikat yang berkaitan. Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd dan syarikat yang berkaitan disyaki menjalankan aktiviti pengambilan deposit secara haram yang melanggar subseksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (ABIK) dan juga pengubahan wang haram yang melanggar subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaann Keganasan 2001.
Kami ingin memaklumkan bahawa BNM telah berulang kali (melalui surat khabar, iklan dan pengumuman melalui radio dan televisyen) mengingatkan orang ramai supaya hanya menempatkan deposit dan melabur dengan institusi-institusi yang dilesenkan sahaja supaya mereka dilindungi oleh undang-undang perbankan dan sekuriti. Pelabur-pelabur yang melabur dengan institusi-institusi yang tidak berlesen akan berhadapan dengan risiko tinggi kehilangan wang pelaburan. Pelabur-pelabur juga akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan undang-undang memandangkan pelaburan itu sendiri tidak sah (haram).
Untuk makluman, jika skim pelaburan tersebut jelas menawarkan peluang pelaburan dengan mengutip wang orang ramai dan kutipan atau pelaburan tersebut diberi pulangan mengikut jangkamasa tertentu yang mana pelaburan asal juga boleh diambil semula, ianya mungkin menyalahi seksyen 25(1) ABIK. Aktiviti pelaburan seperti yang disebut di atas adalah menyalahi undang-undang. Sekiranya tuan melabur disini, sebarang kerugian adalah ditanggung sendiri. Kami mengesyorkan agar tuan hanya melabur di institusi-institusi kewangan yang berlesen sahaja. Untuk kemudahan tuan mengenal pasti sama ada sesebuah institusi kewangan/syarikat itu berlesen dengan BNM atau sebaliknya, sila rujuk senarai institusi kewangan/syarikat yang diberi lesen oleh BNM di laman web kami seperti di pautan berikut:
http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=17&pg=54&ac=57
Sekiranya syarikat/institusi kewangan tersebut TIDAK TERSENARAI di dalam laman web kami, bermakna syarikat tersebut TIDAK DIBERI LESEN oleh BNM untuk menjalankan operasi atau menawarkan produk/perkhidmatan kewangan.
Tuan juga boleh merujuk kepada laman web Suruhanjaya Sekuriti untuk membuat pengesahan lanjut di pautan-pautan berikut:
1. http://www.sc.com.my/eng/html/licensing/licenseMain.html
2.http://www.sc.com.my/eng/html/licensing/investors/Alert_list.html
3.http://www.sc.com.my/eng/html/licensing/investors/IApg_other.htmlSekiranya tuan mempunyai maklumat berkenaan pengambilan deposit secara haram ataupun urusniaga wang asing secara haram, atau mangsa kepada aktiviti atau penipuan tersebut, hantarkan maklumat terperinci atau aduan beserta dokumen-dokumen sokongan ke BNM di alamat berikut:
Unit Penyiasatan Khas
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Tel.: 03-26985708 / 03-26985724 / 03-26985776 / 03-26985785Harap maklum.
Raja Rohafiza bt Raja Hassan
BNMTELELINK
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515
Email : bnmtelelink@bnm.gov.my
Tak paham-paham bahasa la. Aku bukannya melabur wang. Aku bukannya bagi duit deposit. Jadi aku reply la balik:
Saya tidak melaburkan wang.
Saya tidak memberikan deposit wang.
Saya MEMBELI produk.
Saya MENJUAL produk.
Saya dibayar secara ANSURAN, seperti mana Courts Mammoth menerima ansuran dari pembeli-pembelinya.Sekian terima kasih.
Dah tak dapat reply apa-apa lagi dah. Senyap ajer…
**Update** Pagi tadi (28/07/2009) dapat email balasan:
Encik Nahar Efendy Bin Noordin,
Terima kasih atas kiriman e-mel tuan bertarikh 27 Julai 2009.
Untuk makluman tuan, keputusan samada syarikat tersebut bersalah atau tidak dan samada duit pelabur akan dipulangkan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pihak mahkamah. Tuan boleh melayari www.bnm.gov.my untuk sebarang perkembangan kes tersebut, sekiranya ada.
Harap maklum.
Raja Rohafiza bt Raja Hassan
BNMTELELINK
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515
Email : bnmtelelink@bnm.gov.my
Popularity: 100% [?]






